Saturday, November 20, 2010

GEOGRAFI: SAYANGI ALAM DAN KEHIDUPAN

Minda Positif: Indahnya Hidup Ini.
oleh:  Aminah Rahman
Bangun pukul 5.00pagi,bersenam sikit, sedut udara segar pada penghujung malam. Memang selesa, santai menenangkan jiwa. Waktu paling syahdu ialah waktu ini. Permulaan kehidupan  pada hari itu bermula. Kata orang waktu inilah malaikat rahmat turun ke bumi membawa rezeki. Orang-orang yang sudah bangun, sudah membersih diri, sudah berdoa pada waktu ini pasti mendapat berkat, kerana waktunya bertepatan dengan waktu Allah  mengagihkan keberkatan rezeki  kepada makhluknya pada ketika ini.
Maha suci Tuhan Pencipta Alam. Dia Maha Tahu segala keperluan makhluknya. Maka disediakan segala peraturan yang membimbing makhluknya agar dapat hidup dengan bagus, tenang, dan bahagia. Tidak akan rugi orang yang mengikut peraturan. Tidak akan beruntung orang-orang yang mengenepikan peraturan Tuhan.  Peraturan Tuhan Pencipta alam ada dalam al-Quran, dan hadis rasul-Nya. Cari, kaji, teliti dan serahkan diri untuk tunduk, patuh dan pasrah dengan perintah-Nya.  Buka minda kita, bahawa kita adalah kejadian Tuhan, yang memerlukan Tuhan untuk hidup selamat dan sejahtera walau bila dan di mana jua. Kita tidak akan boleh senang jika tidak ikut formula pencipta kita. Bisikkan pada diri kita, kita adalah makhluk yang serba kerdil, tidak boleh berdiri sendiri tanpa bantuan Pencipta kita. Tanpa izin-Nya, mata kita tidak akan boleh berkelip. Tidak ada jiwa yang boleh damai tanpa Tuhan.
Jiwa remaja adalah jiwa gelora. Pada paras umur remaja,  segalanya segar dan membara. Pada waktu remajalah seorang wanita  mencapai tahap kecantikan yang menggugat naluri. Zaman remajalah seorang lelaki berasa ingin mencuba pelbagai perkara untuk membuktikan bahawa dia seorang hero. Lelaki remaja sungguh berani pada peringkat umur remaja. Mantap kehendaknya. Jika boleh mereka mahu memiliki segalanya. Meka mahu buat segala yang mereka rasa mereka patut buat. Tapi sayangnya, remaja kurang pengetahuan, kurang pengalaman. maka tindak tanduk mereka sering tersilap langkah jika tidak bersandar pada ilmu dan bimbingan orang yang lebih arif khasnya ibu bapa dan guru-guru mereka.
Alangkah bagusnya jika zaman remaja sedang melonjak semangatnya ini, kita pengaruhi mereka dengan segala perkara baik-baik.Persekitaran sentiasa mendedahkan hal yang baik-baik belaka. Remaja yang dilatih dalam Latihan Khidmat Negara menunjukkan kelangsungan azam dan semangat mereka untuk berbuat baik pada diri, keluarga, bangsa dan negaranya. Alangkah baiknya, jika remaja ini dapat meneruskan semangatnya dalam program-program lanjutan khasnya dan dalam persekitaran hidup mereka khasnya dalam urusan tidak formal.
Impian adalah angan-angan. Angan-angan yang lebih baik ialah cita- cita. Untuk mencapai cita-cita, kita perlu berusaha. Setiap seorang dari kita pasti ada cita-cita. Paling kurangpun, kita bercita-cita untuk hidup senang, bahagia dan membahagiakan orang lain. Orang yang paling bagus ialah orang yang bermanfaat kepada  orang lain. Sudah tentu orang ini adalah orang yang kehidupannya bagus, urusan dirinya dengan Tuhan sentiasa beres. Dia amat bermakna untuk pasangannya. Dia amat diperlukan oleh keluarganya. Di tempat kerja, sumbangan idea dan tenaganya amat ditunggu-tunggu oleh organisasinya. Pendek kata, dia adalah penyumbang kepada kebagusan hidup. dan kesempurnaan kehidupan orang di sekelilingnya. Maka itulah yang dikatakan manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
Jika kita seorang guru di sekolah, kehadiran kita diharapkan oleh murid. Ketiadaan kita dicari oleh murid. Pemergian kita diratapi oleh murid. Idea kita dinanti-nanti oleh rakan-rakan dalam mesyuarat. Tenaga kita diperlukan dalam setiap perkara. Ucapan kita didengar penuh teliti oleh ahli majlis. Jika semua itu adalah sebahagian daripada kita  dalam kehidupan harian kita, maka nampaknya, kita adalah antara orang yang hidupnya bermakna. Hidup kita menyumbang manfaat kepada masyarakat di keliling kita.
Jika kita seorang murid di sekolah pula, kita adalah pelengkap di dalam kelas. Kehadiran kita disenangi oleh rakan-rakan dan guru-guru.Kita sering menghulurkan bantuan kepada  sesiapa juga yang sepatutnya dibantu, terutama para guru dan rakan-rakan sekelas kita. Niat yang terdetik dalam hati kita setiap hari adalah untuk memberi sumbangan kepada orang lain. Idea yang terpancar dari minda kita adalah idea-idea bagus yang memberi manfaat kepada kehidupan kita dan masyarakat kita. Sebagai seorang yang berpengetahuan,  kita bijak bertindak mengikut peraturan. Kita latih diri kita supaya sentiasa positif kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Minda kita sentiasa memikirkan kebaikan dalam semua situasi, sebab dalam hidup ini kita telah diajar bahawa semua perkara, setiap satunya ada baik dan ada buruknya. Setiap manusia ada kekuatan dan ada kelemahannya,. Ketepikan kelemahan, kita gilap dan kita gunakan kekuatan yang ada. Kita cari peluang untuk membesar-besarkan kebaikan dalam  setiap perkara.
Akibatnya, maka kita akan beroleh kemenangan dalam hidup kita.  Allah berpuas hati. Allah meredhai kita. Maka kita diterima oleh rakan-rakan, keluarga, ketua dan sesiapa jua. Naluri hati manusia memang suka pada kebaikan walaupun orang itu sebenarnya orang yang kurang sempurna peribadinya. Hatta seorang pecuripun, naluri hatinya tidak suka pada orang yang mencuri.
Oleh hal yang demikian, damaikan hidup ini. Jauhi hasad dengki. Dekati segala budi. Senyum pada diri sendiri dan pada orang lain. Bisikkan dalam hati bahawa hidup ini sementara waktu. Hidup yang kekal ialah hidup semula selepas mati. Jiwa yang bahagia akan membahagiakan orang lain. Jiwa yang sengsara, akan mengsengsarakan orang lain. Kita ada pilihan di dunia inji. Bijakkan diri kita. Pilihlah semua yang positif mengikut ilmu dan detik hati kita. Kita semua (tidak kira rumpun bangsa mana sekalipun), adalah berasal dari Allah. Kepada Allah jua kita akan dikembalikan. Jangan mengakui kita benar dan yang lain salah. Semuanya adalah satu, iaitu makhluk Tuhan yang menjadi penghuni kepada alam yang akan binasa pada suatu ketika nanti. Kita semua akan dibangkitkan semula untuk hidup dalam alam yang lebih abadi……. selama-lamanya, sama ada di syuga atau sebaliknya……..
Sekian.
Dari cikgumin Seremban.                                                                                    21 November 2010

No comments:

Post a Comment