Friday, June 8, 2012

Kerja Kursus Geografi PMR 2012

Teguran Kepada Penulisan Laporan Kajian anda:

Semua calon PMR terutama murid-murid saya;
Tulisan kamu mestilah menjurus kepada hasil kajian kamu yang menggunakan kaedah pemerhatian, temubual, soal selidik dan rujukan.
Contoh:
1. Apabila menjelaskan definisi perniagaan runcit, kamu hendaklah menulis begini: Menurut Mohd Jamil bin Mohamed melalui bukunya Geografi KBSM Tingkatan 3, muka surat 127, Perniagaan Runcit melibatkan urusan jual beli barangan kepada pengguna terakhir dalam kuantiti yang kecil.
Hal ini membuktikan bahawa kamu telah membuat kajian melalui kaedah rujukan.


2. Kamu melaporkan bahawa banyak kepentingan perniagaan pasar malam di kawasan tempat tinggal anda. Kamu telahpun menjalankan sesi temubual bersama peniaga pasar malam berkenaan. Maka laporan kamu mestilah begini:

Pasar malam di kawasan kajian saya (Taman Sri pulai 3) telah membuka peluang pekerjaan kepada sebahagian kecil penduduk tempatan. Menurut En Khairul, 40 tahun, penjual burger di Pasar Malam Taman Sri Pulai 3 Seremban, beliau memperoleh keuntungan jualan burger antara RM80- RM150 setiap malam.  Manakala En Tan yang menjual buah-buahan pula menyatakan bahawa beliau memperoleh keuntungan antara RM100.00-RM140.00 setiap  kali berniaga di pasar malam.
Hal ini membuktikan bahawa kamu telah membuat kajian menggunakan  kaedah temubual.


3. Kamu menerangkan bahawa Pasar Malam juga membawa kesan negatif. Tulislah begini:
Perniagaan pasar melam juga membawa kesan negatif terhadap alam sekitar. Melalui pemerhatian saya sejak 3 minggu kebelangan ini, kawasan tapak pasar malam Taman Sri Pulai 3 berada dalam keadaan bersepah-sepah. Orang awam seolah-olah tidak mempunyai kesedaran siviks, kerana saya dapati sampah sarap terutama plastik dan kertas  bertaburan di kawasan berkenaan pada waktu awal pagi. Keadaan ini diselamatkan oleh pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Seremban yang menjalankan tugas membersih kawasan itu.
Hal ini membuktikan bahawa kamu telah membuat kajian melalui kaedah pemerhatian.


Begitulah seterusnya, dalam penulisan kamu itu, semua fakta yang dihuraikan mestilah disokong dengan kaedah kajian kamu. perkara ini akan mengukuhkan fakta bahawa apa yang kamu tulis adalah hasil daripada kajian yang telah kamu jalankan.


Sekian, Selamat Belajar. Selamat Maju Jaya.

daripada saya
Cikgu Aminah SMKASHAMS 2012

Monday, April 23, 2012

Kesan perniagaan pasar malam di Taman Sri Pulai 3

Kesan Perniagaan Pasar Malam di Taman Sri Pulai 3

              Daripada soal selidik yang saya buat terhadap penduduk di sekitar taman Sri Pulai 3, terdapat beberapa kesan negatif perniagaan pasar malam di kawasan ini. Pertama ialah masalah sosial.Pengunjung-pengunjung pasar malam terutama para remaja sering dilihat bergaul bebas antara lelaki perempuan.Kadang-kadang mereka tanpa segan silu berpegang-pegang tangan sambil membeli belah.Pakaian yang dipakai pula agak mencolok mata dan telah menimbulkan rasa tidak senang penduduk sekitar.Tambahan pula kawasan ini berhampiran dengan surau.           Kedua ialah masalah kesesakan lalulintas . Kedudukan tapak pasar malam ini adalah berhampiran dengan Jalan utama Taman Sri Pulai ke Temiang dan pusat bandar Seremban. JKereta yang melalui kawasan ini agak banyak dan sering berlaku kesesakan lalulintas terutama pada pukul 6.00petang. Pada waktu ini peniaga pasar malam bertembung dengan murid-murid balik dari sekolah KAFA Ummu Aiman Taman Sri Pulai 3.Menurut seorang responden yang saya temui, pernah berlaku pada dua tahun yang lepas, seorang budak sekolah KAFA Ummu Aiman ini dilanggar kereta yang terlalu sibuk di kawasan pasar malam Taman Sri Pulai 3 ini..Hal ini kerana pengunjung pasar malam meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan, maka kesesakan lalulintas semakin serius.Selain itu, terdapat juga peniaga pasar malam yang menjual kuih dan lain-lain makanan yang kurang bermutu. Melalui pemerhatian saya, terdapat sebuah gerai menjual kuih termasuk pisang goreng yang tidak menjaga prestasi gerai, tidak menjaga kebersihan gerai dan makanan, malah beliau membancuh tepung untuk menggoreng pisangnya di dalam tong cat!. Hal ini sangat memalukan jika terdapat pelancong luar negara yang mengunjungi pasar malam khasnya gerai berkenaan. Saya boleh membuat kesimpulan bahawa terdapat sebahagian daripada masyarakat kita yang masih cetek ilmunya dalam hal-hal mengekalkan prestasi perniagaanya. Akibat daripada itu, perniagaan pasar malam dianggap perniagaan kelas bawahan yang tidak berprestij, kotor dan mungkin makanan yang dijual akan menyebabkan pengguna mendapat sakit apabila kerap makan makanan yang tidak bersih.Kesan negatif seterusnya  ialah masalah pencemaran.Para peniaga dan juga pengunjung pasar malam di sini, membuang sampah sarap dengan sesuka hati mereka.Jadi kawasan ini sering dilanda bau busuk dan juga masalah lalat.      
         Kesan negatif yang sering menjadi aduan penduduk ialah barangan yang tidak berkualiti.Kebanyakan barangan yang dibeli cepat rosak dan tiada jaminan kualiti terutama barangan elektrik.Selain itu juga terdapat barangan seludup seperti telefon bimbit,VCD cetak rompak dan lain-lain lagi.          Oleh itu, saya berasa bangga dan   berterima kasih atas kerjasama penduduk mengenal pasti kesan-kesan negatif yang harus di atasi segera.


Monday, April 9, 2012

Latihtubi Geografi PMR

Sila respon pernyataan berikut dengan cara meilih jawapan yang paling sesuai.

Bab 9: MIGRASI PENDUDUK
1. Migrasi ialah perpindahan tempat tinggal penduduk ke sesuatu tempat secara                                       
    i  kekal           ii sementara
2. Migrasi luar bandar ke luar bandar berlaku di kawasan                                                                      
    A. rancangan pembangunan tanah      B  kempung nelayan
3. Migrasi penduduk ke kawasan FELDA disebabkan oleh faktor     A bentuk muka bumi B governan
4. FELDA Air Tawar dan Tenggaroh terletak di negari        A Sabah   B Johor
5. FELDA UMAS dan  GUGUSAN SAHABAT di Sabah terletak dalam daerah                                     
    A. Sandakan    B Tawau
6. FELDA BUKIT ROKAN DAN PALONG terdapat di A Selangor    B N.Sembilan
7. Kegiatan industri kilang di Lembah Kelang menggalakkan migrasi dari  luar bandar ke                  
      A bandar    B luar bandar
8. Kebanyakan penduduk luar bandar berhijrah ke bandar disebabkan oleh                                           
      A dasar kerajaan     B peluang kerja
9. Perpindahan penduduk ke Putrajaya disebabkan oleh fungsi  Putrajaya sebagai  pusat                             
      A perkilangan   B pentadbiran.
10. Shah Alam, Georgetown, Johor Bahru mempunyai fungsi yang sama iaitu  pusat                            
      A perkilangan    B pentadbiran
11. Apakah kesan migrasi  ke bandar terhadap tempat dituju?                                                                
      A peluang kerja bertambah   B penduduk bertambah
13. Golongan imigran dari Bangladesh dan Indonesia migrasi ke  Malaysia. Migrasi tersebut ialah    
      migrasi      A.dalaman   B antarabangsa

peta msia
                createdbyPuanAminahRahmanSMKASHAMS2012

Contoh Kerja Kursus Geografi 2012

Satu Kajian tentang Perniagaan Runcit (Pasar Malam) di Taman Sri Pulai 3, Seremban Negeri Sembilan.

Perniagaan Runcit: 
     Terdapat banyak perniagaan runcit di kawasan sekitar tempat tinggal saya iaitu di kawasan rumah kedai Taman Sri Pulai3 Seremban. Antaranya ialah Kedai Runcit Jaka, Pasaraya TF, Kedai Logam Ming Lee dan Kedai Ubat Hong Fatt. Kedai-kedai ini memberi perkhidmatan jualan runcit mulai 10.00 pagi hingga jam 10.00 malam.

Konsep Perniagaan Runcit (Pasar Malam) :

      Perniagaan Runcit ditakrifkan sebagai aktiviti jualan barang kepada pengguna terakhir dalam kuantiti yang kecil (buku teks Geografi Tingkatan 3). Hal ini bermaksud kita membeli barangan dalam kuantiti yang sedikit untuk keperluan diri sendiri atau keluarga sendiri dan bukan untuk dijual semula kepada orang lain. Contohnya saya membeli satu kilogram gula, 10 kilogram beras dan 2 kilogram tepung gandum untuk kegunaan keluarga saya dari sebuah kedai runcit berdekatan rumah saya. 
    Pasar malam juga merupakan salah satu daripada perniagaan runcit, kerana peniaga pasar malam menjual barangan mereka kepada pengguna terakhir dalam jumlah yang sedikit, contohnya saya sering membeli  3 keping kuih pau dengan harga RM3.00 dari sebuah gerai yang menjual pau panas. Perniagaan pasar malam  ini beroperasi di kawasan kajian saya pada setiap hari Rabu mulai jam 5.00petang hingga jam 9.30 malam.

Kepentingan perniagaan pasar malam:

     Perniagaan pasar malam di Taman Sri Pulai 3 adalah penting sekali kerana pasar malam ini banyak memberi manfaat kepada kami dan penduduk di kawasan sekitarnya seperti  Taman Pulai Impian, Taman Pulai Perdana, Taman  Choral Height, Taman Temiang Jaya, Taman Desa Rhu dan Taman  . Terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai barang keperluan harian seperti kuih muih, barangan dapur, barang mainan kanak-kanak, pakaian, pokok bunga dan pelbagai barangan keperluan harian. Oleh sebab itu perniagaan pasar malam ini memudahkan penduduk di sekitar Taman Sri Pulai 3 mendapatkan barangan keperluan mereka tanpa mengeluarkan kos pengangkutan yang banyak.
     Selain itu, pasar malam Taman Sri Pulai 3 juga menjual barangan dengan harga yang lebih murah. Saya telah membuat perbandingan harga cermin mata hitam yang dijual di pasar malam ini   adalah jauh lebih murah berbanding cermin mata yang dijual di tempat lain walaupun kualitinya lebih kurang sama. Begitu juga barang mainan kanak-kanak yang dijual di pasar malam, harganya  jauh lebih murah berbanding harga di pasaraya atau pasar mini di tempat lain walaupun jenisnya sama. Oleh itu pasar malam ini saya anggap  lebih mesra pengguna kerana kita dapat berjimat apabila membeli barangan  di pasar malam.
     Perniagaan pasar malam juga dapat memberi peluang kepada peniaga bermodal kecil untuk menjalankan aktiviti berniaga. Dalam soal selidik saya, saya mendapati bahawa peniaga menjual kuih hanya memerlukan modal lebih kurang RM300.00 sahaja untuk memulakan perniagaan di sini, iaitu modal untuk membeli payung dan meja, membayar sewa dan modal untuk membuat kuih / makanan yang mereka jual. Menurut En Manap yang menjual keropok lekor, beliau membeli set payung gerai beliau dengan hargaRM120.00 dan meja yang digunakan debeli dengan harga RM80.00 sahaja.Manakala sewa gerai pula ialah RM20.00 satu malam. Oleh hal yang demikian, perniagaan pasar malam dapat membantu golongan rakyat bawahan untuk menjadi usahawan dengan modal permulaan yang kecil dan tidak membebankan.


     Justeru, saya berasa amat bersyukur kerana di kawasan kediaman saya terdapat pasar malam  yang begitu penting kepada kami warga Taman Sri Pulai 3, kerana melalui kegiatan ini banyak manfaat yang kami peroleh.


Faktor-faktor yang mempengaruhi :


Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi wujudnya pasar malam di Taman Sri Pulai 3. Antara faktor utamanya ialah jumlah penduduk yang ramai menyebabkan permintaan yang tinggi.  Kedudukan kawasan Taman Sri Pulai 3 adalah strategik, iaitu berada di tengah-tengah kawasan perumahan yang telah bercantum-cantum. Antaranya Taman Pulai Perdana, Taman Pulai Impian, Taman Choral Height,  Taman Desa Rhu  dan Taman Temiang Jaya.. Pasar malam ini mendapat sambutan daripada penduduk daripada taman-taman perumahan yang berdekatan. Pengunjung pasar malam ini didapati lebih ramai antara jam 8.00 hingga 9.30 malam kerana  waktu inilah mereka lebih lapang daripada tugas-tugas harian.
 .
      Selain itu, perniagaan pasar malam ini dipengaruhi oleh Pihak Berkuaa Tempatan. Di kawasan kajian saya, Majlis Perbandaran Seremban memberi sokongan kepada para peniaga dengan memberi lesen kepada peniaga. Pihak berkuasa ini juga menyediakan tapak perniagaan pasar malam untuk disewa oleh para peniaga dengan kos yang amat rendah iaitu RM20.00 bagi setiap tapak gerai pada satu malam. Kemudahan ini mendorong perniagaan ini agar terus dijalankan  dan seterusnya memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat.


     Perniagaan pasar malam di Taman Sri Pulai ini juga dipengaruhi oleh minat penduduk tempatan untuk meningkatkan pendapatan melalui perniagaan. Melalui pemerhatian saya, saya dapati terdapat beberapa gerai menjual makanan seperti kuih muih  dan makanan segera dikendalikan oleh suri rumah secara sambilan. Golongan suri rumah (kaum ibu) berminat untuk berniaga di sini semata-mata untuk meningkatkan pendapatan keluarga melalui usaha membuat kuih dan makanan lain seterusnya menjual barangan mereka di pasar malam.


     Perniagaan pasar malam di sini terus mendapat sambutan  kerana waktu perniagaannya amat sesuai dengan masyarakat penduduk di sini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pekerja makan gaji di pejabat kerajaan. Golongan ini pulang dari pejabat pada jam 5.00petang dan mereka terus ke pasar malam untuk mendapatkan barangan keperluan mereka seperti makanan dan barang keperluan yang lain. Melalui temubual saya dengan beberapa peniaga di gerai menjual kuih, mereka menyatakan bahawa pelanggan mereka hampir kesemuanya ialah suri rumah yang bekerja di pejabat. Mereka suka  membeli makanan di sini untuk menyediakan juadah minum petang keluarga mereka secara mudah dan segera.


Saya berasa bersyukur kerana kegiatan perniagaan  pasar malam yang  dijalankan di sini menyebabkan kami penduduk taman Sri Pulai 3 Seremban mendapat pelbagai kemudahan daripada kagiatan perniagaan runcit ini.
     
Kesan negatif:
Cadangan mengurangkan kesan negatif:
Rumusan:

Sunday, November 21, 2010

kuiz geografi: murid-murid saya boleh hantar jawapan buka sekolah nanti. Hadiah menarik menanti anda.

KUIZ GEOGRAFI TINGKATAN 1- 3
BAHAGIAN A: TENTUKAN SAMA ADA PERKARA-PERKARA BERIKUT TERDAPAT DI INDIA ATAU DI BRAZIL?
1.       Hutan hujan Tropika
2.       Hutan Monsun Tropika
3.       Bandar Chennai
4.       Pemain bola sepak terhandal dunia
5.       Sungai Ganges
6.       Sungai Amazon
7.       Tanaman kelapa sawit
8.       Lapangan Terbang Indira Gandhi
9.       Lapangan Terbang Amritsar
10.   lapangan Terbang Afonso Pena
11.   Bahasa Portugal
12.   Negara ketujuh bterbesar  di dunia
13.   Bahasa Tamil
14.   Penduduk kedua terbanyak di dunia melebihi 1 billion orang
15.   Mata wang Rupee
16.   Sekarang mengalami musim  luruh
17.   Matawang Brazilian real
18.   Sea Port of Santana
19.   Sea Port of Mumbai
20.   Budaya Sati – janda muda secara rela/dipaksa mati bersama mayat suaminya.

BAHAGIAN B: JELASKAN PERKARA-PERKARA BERIKUT SAMA ADA DI AUSTRALIA ATAU DI KANADA:
21.  Negara di Hemisfera Utara
22.  Negara yang lebih hampir iklim Tundra
23.  Terletak di benua Amerika Utara
24.  Padang Rumput Prairie terletak di sini.
25.  Penanaman gandum lebih meluas di sini.
26.  Bandar Montreal
27.  Bandar Quebec
28.  Second largest country in the world
29.  Terdapat Gurun Besar di sini.
30. Orang asli Maori.
31. Petroleum dan gas asli lebih banyak di sini.
32. Pantai mempunyai terumbu karang terbesar  
      dunia
33. Haiwan kangaroo.
34. Haiwan sea lion
35. Ibu negaranya  Canberra
36.  Nelayannya menangkap ikan paus di Laut Artik
37.  Opera House of Sydney
38.  Bandar Darwin
39.  Kawasan hutan pokok tirus lebih luas di sini.
40.  Sekarang negara ini mengalami musim bunga
41. Lautan Hindi  di bahagian barat negara ini.
BAHAGIAN C: TENTUKAN DI NEGARA MANAKAH  LOKASI BERIKUT?
42. Keretapi peluru berkelajuan 300kmsejam
43. Gunung Merapi memancutkan abu panas setinggi    
    10,000 meter ke udara.
44. Pulau Phuket – destinasi pelancongan.
45. Sebuah negara Arab yang menghasilkan sutera.
46. Sungai Irrawady ialah sungai terpanjang di negara ini.
47. Bandar Iskandariah lokasi pelancongan di laut  
    Mediterranean.
48. Negara pengeluar tali jut.
49. Gunung Fujiyama terkenal di negara ini.
50. Ibu negaranya BUSAN.
51. Negeri California terletak di negara mana?
52. PelajarSMKA SHAMS melanjutkan pelajaran dalam
       bidang pergigian di sebuah universiti di Bangalore.
53. Sukan Asia 2010  dijalankan di Guangzhou.
54. Pulau Luzon adalah pulau terbesar di negara ini.
55. Lapangan terbang terkenal – L Antarabangsa Changi.
56. Tsunami paling teruk pada 2004 di Acheh.
57. Sungai St Lawrtence sempadan semulajadi dua
       negara. Apakah negar-negara itu?
58. Kemuncak gunung Matterhorn  diliputi ais pada
       musim sejuk.
59. Kepulauan Maldives adalah kepulauan batu karang
       yang indah di Lautan mana?
60. Bandaraya Ho Chi Minh
61. Ibu negaranya RIYADH
62. Ibu negaranya Baghdad.
63. Tumpuan penduduk negara ini ialah di Yangon.
64. Dilma Rouseff adalah presiden wanita pertama negara ini.
65. Los Angeles terletak di negara mana?
66. MARA menghantar pelajar cemerlang tajaannya ke      University of Sunderland. Di mana?
67. Cristchurch adalah sebuah bandar di negara?
68. Jakarta  adalah bandar di Pulau Jawa atau Pulau Sumatera?
69. Barrack Obama adalah ketua negara mana?
70. Ibu negaranya adalah Karachi.
createdbyPnAminahRahmanSMKASHAMSNOV2010

UDARA KITA LEMBAP!


KENANGAN MASA LALU: PERAH DAN PERAH LAGI. UDARA KITA LEMBAP!
Masa saya berusia 13 tahun , ketika itu saya  amat berkewajiban untuk membantu ibu dan bapa. Waktu hujung minggu, hari Sabtu dan Ahad, saya pasti akan ke kebun getah pada waktu pagi dan  pada  sebelah petang pula saya akan mengikut ibu dan bapa ke sawah padi. Setiap hari sekolah, Isnin hingga Jumaat, saya bertanggungjawab untuk membantu ibu di rumah. Sebelah petang, selepas makan tengah hari, saya dan kakak saya akan ke hutan, mencari kayu api. Kemudian, kami berdua harus ke perigi untuk memenuhkan tempayan air di rumah, sebab kami tidak mempunyai perigi dalam rumah. Bekalan air paip ketika tahun 70an belum sampai di kampung Tambak Bugis, Telok Mas, Melaka ketika itu. Maka kami semua  terpaksa bersemangat waja untuk meneruskan kehidupan walaupun banyak cabaran.
Pada waktu petang, air yang kami ambil dari perigi berhampiran tadi, kami gunakan untuk membasuh pakaian. Kami basuh pakaian satu keluarga. Sabun yang digunakan ketika itu adalah sabun buku cap kapak, berwarna hijau. Sental pakaian guna berus tangan.menungging-nungging menyental pakaian adik-adik yang kotor. Maklumlah hidup di kampung.Kotornya pakaian kerana bertanah, berlumpur.  Setelah dicuci, dibilas, kami terpaksa memerah. Anak beusia 11 -12 tahun, manalah kuat sangat nak memerah  kain. Maka kami kongsi memerah. Kakak pegang di hujung sana  dan saya pegang di satu hujung lagi. Kami putar, kami pintal dan kami perah sekuat yang terdaya. Kemudian  kami kebas-kebaskan kain itu, luruskan barulah disidai pada ampaian.  kain tidak mudah kering, kadang-kadang dua hari baru kering. Tahukah anda kenapa?
Jawapannya ialah : KELEMBAPAN UDARA DI MALAYSIA ADALAH TINGGI. LEBIH 80% RUANG UDARA KITA MENGANDUNG AIR.
Oleh itu, baju yang dijemur tidak mudah kering…
Jumpa lagi.
Dari Cikgumin Seremban.        

Saturday, November 20, 2010

PUISI - SUATU PERJALANAN

PUISI BUAT SAHABAT DAN KETUA :      
HAJAH WAN RUHAYAH BT WAN YAACOB
Pengetua Cemerlang
SMKA Sheikh Haji Mohd Said Seremban N.Sembilan

SATU PERJALANAN
Seorang hamba…..
adalah seorang pekerja  suka duka, penat lelah, tak kisah
kerana hamba…… yang menurut segala titah

Seorang kekasih….seorang perindu yang menanti  saat bertemu
mengharap  nikmat menatap wajah-MU
 yang  abadi  di syurga menanti

Seorang sahabat… tangan berjabat….
kita  sekeping  cermin yang tidak terasing
menegur apajua tutur, yang terhambur tanpa diatur
moga kita sama-sama selamat di PENGHUJUNG GARIS hayat
eratkan genggaman, abadikan prinsip kita
berjaya setelah berusaha kerana kita sama-sama berhajat
untuk mencari sehingga dapat.

Seorang pekerja….akur pada  arahan
yang menjurus  pada visi dan tujuan
satu kesatuan   satu haluan  sama-sama berkemahuan
menyumbang manfaat jariah yang terarah
terserah dan pasrah  pada redha ALLAH Tuhan yang satu.
Seorang murid seorang guru seorang pekerja
seorang pengetua seorang ketua seorang penguasa
bersama-sama kita membangun jati diri
anak bangsa tercinta , tabah kekalkan maruah
yang sentiasa terdedah pada lembah noda dan dosa
yang mendambakan suatu pengorbanan menegakkan
demi kelestarian dan kedamaian  hidup  yang berpanjangan… 

Pada hari itu, dahulu,  kita  bertemu
pada ketika ini, kita terkedu,membisu, berserah pada PENENTU
pada kenangan yang sentiasa tersemat , dalam naluri diri yang akhirnya menyepi

namun kita ada rancangan terperinci memotivasi diri
menggali potensi mengembangkan kreativiti
mencuba berkali-kali  menerobos sempadan diri  demi IIIAHI

lupakan kekecewaan lalu, jangan bersedih
kita fokus pada kuat, kita hebat ,
keraskan keinginan pada suatu yang membawa manfaat
sama-sama kita belajar….mentafsir hikmah kehidupan
walaupun itu adalah  suatu perpisahan…dalam satu perjalanan … HIDUP BERTUHAN..
                                                                   
                                                 Puan Aminah bt Rahman, SMKA Sheikh Haji Mohd Said Seremban
                                                                                                    Tarikh: Jumaat 29Oktober2010