Friday, June 8, 2012

Kerja Kursus Geografi PMR 2012

Teguran Kepada Penulisan Laporan Kajian anda:

Semua calon PMR terutama murid-murid saya;
Tulisan kamu mestilah menjurus kepada hasil kajian kamu yang menggunakan kaedah pemerhatian, temubual, soal selidik dan rujukan.
Contoh:
1. Apabila menjelaskan definisi perniagaan runcit, kamu hendaklah menulis begini: Menurut Mohd Jamil bin Mohamed melalui bukunya Geografi KBSM Tingkatan 3, muka surat 127, Perniagaan Runcit melibatkan urusan jual beli barangan kepada pengguna terakhir dalam kuantiti yang kecil.
Hal ini membuktikan bahawa kamu telah membuat kajian melalui kaedah rujukan.


2. Kamu melaporkan bahawa banyak kepentingan perniagaan pasar malam di kawasan tempat tinggal anda. Kamu telahpun menjalankan sesi temubual bersama peniaga pasar malam berkenaan. Maka laporan kamu mestilah begini:

Pasar malam di kawasan kajian saya (Taman Sri pulai 3) telah membuka peluang pekerjaan kepada sebahagian kecil penduduk tempatan. Menurut En Khairul, 40 tahun, penjual burger di Pasar Malam Taman Sri Pulai 3 Seremban, beliau memperoleh keuntungan jualan burger antara RM80- RM150 setiap malam.  Manakala En Tan yang menjual buah-buahan pula menyatakan bahawa beliau memperoleh keuntungan antara RM100.00-RM140.00 setiap  kali berniaga di pasar malam.
Hal ini membuktikan bahawa kamu telah membuat kajian menggunakan  kaedah temubual.


3. Kamu menerangkan bahawa Pasar Malam juga membawa kesan negatif. Tulislah begini:
Perniagaan pasar melam juga membawa kesan negatif terhadap alam sekitar. Melalui pemerhatian saya sejak 3 minggu kebelangan ini, kawasan tapak pasar malam Taman Sri Pulai 3 berada dalam keadaan bersepah-sepah. Orang awam seolah-olah tidak mempunyai kesedaran siviks, kerana saya dapati sampah sarap terutama plastik dan kertas  bertaburan di kawasan berkenaan pada waktu awal pagi. Keadaan ini diselamatkan oleh pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Seremban yang menjalankan tugas membersih kawasan itu.
Hal ini membuktikan bahawa kamu telah membuat kajian melalui kaedah pemerhatian.


Begitulah seterusnya, dalam penulisan kamu itu, semua fakta yang dihuraikan mestilah disokong dengan kaedah kajian kamu. perkara ini akan mengukuhkan fakta bahawa apa yang kamu tulis adalah hasil daripada kajian yang telah kamu jalankan.


Sekian, Selamat Belajar. Selamat Maju Jaya.

daripada saya
Cikgu Aminah SMKASHAMS 2012